PH Melaka menyokong penubuhan kerajaan perpaduan dan menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan BN bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu, kata pengerusinya Adly Zahari.

"Secara dasarnya, PH Melaka menyokong penubuhan kerajaan perpaduan di negeri Melaka.

"PH Melaka akan berusaha untuk bekerjasama dengan BN negeri Melaka demi memastikan kestabilan politik negeri dapat diwujudkan dan seterusnya kemakmuran ekonomi negeri dapat dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, isu pertukaran pemimpin negeri itu menjadi hangat selepas kerajaan PH Melaka dijatuhkan berikutan Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan di Putrajaya pada 2020.

Ia kemudian menjadi 'panas' semula menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Melaka apabila BN menegaskan bahawa Sulaiman Md Ali adalah calon ketua menteri bagi gabungan itu jika mereka berjaya memperoleh majoriti.

Ia sekali gus menolak dakwaan jawatan itu akan berpindah tangan kepada bekas setiausaha kerja Umno, Ab Rauf Yusof.

Isu pertukaran ketua menteri itu timbul semula sejak kebelakangan ini, susulan pembentukan kerajaan madani di peringkat persekutuan.

Pada 27 Mac lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN dengan barisan exconya terdiri daripada Adun BN.

BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti PH dengan lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.

Ahmad Zahid semalam memaklumkan telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman dan mengesahkan Rauf merupakan calon ketua menteri yang baru hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Zaidi Johari berkata, ketua menteri baru akan mengangkat sumpah jawatan esok susulan peletakan jawatan Sulaiman sebagai ketua menteri.