Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam: Kerjasama SPRM bantu usaha Kuwait sabitkan Jho Low

SPRM menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak bekerjasama dengan usaha Kuwait untuk membuat pendakwaan terhadap jenayah berkaitan 1MDB di negara itu.

Malah Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Kuwait sejak 2020 dan terbuka untuk terus berbuat demikian.

"Kerjasama ini penting dalam membantu Kuwait membuat sabitan terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho dan empat individu lagi untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

"Siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM untuk mendapatkan semula hasil haram tersebut," kata Azam.

Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low.

Ia digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

Sebagai sebahagian daripada siasatannya, Azam memberitahu Malaysiakini bahawa pada September 2021, SPRM melalui Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk mendapat maklumat lanjut dan dokumen berkaitan daripada kerajaan Kuwait.

"Dokumen MLA mengandungi maklumat penting dalam siasatan SPRM ke atas jejak wang kes ini," katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa Kuwait ketika itu juga menggunakan maklumat yang diberikan Malaysia menerusi MLA untuk membantu siasatannya sendiri dalam kes tersebut.

"Ini membawa kepada sabitan terhadap Jho Low, Bachar Kiwan dan tiga lagi baru-baru ini," katanya lagi.

Pada Rabu lalu, akhbar Kuwait Al-Qabas melaporkan seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

Menurut laporan itu, lima individu itu didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu mengenal pasti dua warga asing itu sebagai Low dan Bachar, seorang ahli perniagaan Syiria-Perancis, namun tidak menamakan tiga individu lagi.

Ada lagi terlibat?

Laman Sarawak Report bagaimanapun mengenal pasti sheik tersebut dengan nama Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait.

Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

Al-Qabas melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

Bercakap dengan Malaysiakini selepas sabitan terbaru ini, Bachar turut menggesa Malaysia untuk menyiasat dakwaan penglibatan pegawai kerajaan Kuwait dalam skandal 1MDB.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS