Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengalu-alukan pemansuhan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan.

"Kami percaya penghapusan hukuman mati mandatori merupakan suatu langkah positif ke arah ratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang penyeksaan dan layanan atau hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan, atau menjatuhkan maruah (Uncat)," kata pengerusinya Rahmat Mohamad dalam kenyataan, hari ini.

Semalam bacaan ketiga Rang Undang-undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Rakyat menerusi undi suara.

RUU ini melibatkan pindaan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori kepada kesalahan-kesalahan berkaitan melibatkan beberapa akta, termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan.

Tempoh maksimum hukuman penjara untuk kesalahan-kesalahan ini pula sebanyak 10 tahun.

Bawah pindaan ini, hukuman penjara minimun bagi kesalahan yang sebelum ini membawa hukuman mati adalah 30 tahun manakala tempoh maksimum adalah 40 tahun. 

Sementara itu Rahmat berkata, keputusan tersebut sejajar dengan usaha advokasi Suruhanjaya serta Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kerangka komprehensif untuk melindungi kebebasan asasi semua rakyat Malaysia.

"Suhakam berbangga dengan penglibatan pesuruhjaya dan mantan pesuruhjaya sebagai ahli jawantankuasa khas untuk mengkaji hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori dalam memberikan input kepada Rang Undang-undang tersebut.

"Suruhanjaya menghargai semua ahli jawatankuasa atas usaha mereka ke arah penggubalan undang-undang yang penting ini," katanya.