Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota Pemuda DAP dibebas dari tuduhan menghina ketika protes Najib
Diterbitkan:  Apr 10, 2023 1:05 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini membebaskan seorang anggota Pemuda DAP Pulau Pinang daripada pertuduhan berkelakuan menghina ketika mengadakan bantahan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak tahun lepas.

Lim Zheng Han, 26, dilepas dan dibebaskan sepenuhnya selepas individu yang membuat laporan polis terhadapnya menarik balik laporan itu.

Peguam RSN Rayer memberitahu Malaysiakini bahawa pengadu Tan Wei Ho memberi keterangan di mahkamah hari ini bahawa dia telah membuat laporan menarik balik laporan awalnya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Shakilah Dahari memohon untuk menarik balik pertuduhan dan seterusnya dibenarkan oleh Majistret Nurulrasyidah Mohd Aki.

Pada 25 Mac tahun lepas, Lim dan sekumpulan ahli DAP berbalah dengan penyokong Najib apabila mereka membawa sepanduk yang bertulis "Bossku kemaluan negara" semasa lawatan Najib ke Bukit Mertajam.

Peserta protes dihalang daripada memberikan kenyataan kepada media, dan sepanduk mereka telah diambil oleh penyokong Najib, yang juga didakwa menolak salah seorang peserta protes.

Lim kemudiannya didakwa pada Jun tahun lalu kerana menggunakan kata-kata menghina dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan.

Rayer - yang juga ahli parlimen Jelutong - memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah menyatakan di mahkamah hari ini bahawa Jabatan Peguam Negara "tidak sepatutnya membuang masa mahkamah yang berharga" dalam pendakwaan kes yang sia-sia pada masa hadapan.

Lihat Komen
ADS