PN dijangka menyelesaikan pengagihan kerusi dewan undangan negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi pada Ahad ini.

Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor berkata ketika ini hanya ada beberapa kerusi DUN di Selangor dan Negeri Sembilan yang masih belum selesai dibincangkan dalam kalangan parti komponen mereka.

“Ada sedikit lagi yang masih belum selesai di Selangor dan Negeri Sembilan yang melibatkan dua atau tiga kerusi (DUN), tetapi bagi Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu semuanya sudah selesai.

“Sebelum ini, kita bagi masa seminggu kepada Selangor dan Negeri Sembilan (untuk selesaikan perbincangan kerusi) jadi Ahad ini akan berjumpa balik dengan pimpinan PN … insya-Allah Ahad ini selesai,” katanya di Alor Setar malam tadi.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata kerusi-kerusi yang masih belum selesai itu bukanlah “kerusi panas”, sebalikya belum dapat diputuskan kerana belum mencapai sepakat.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata perbincangan agihan kerusi DUN dalam kalangan parti komponen PN telah mencapai tahap 80 peratus.

Dia berkata perbincangan pusingan pertama berjalan dengan lancar dan pembahagian kerusi dibuat secara muafakat melibatkan seluruh parti komponen PN.

- Bernama