Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ada 21 rekod jenayah maut dipercayai ditembak

Seorang lelaki ditemukan mati disyaki akibat ditembak berhampiran medan selera di Jalan Bandar 1, Pusat Bandar Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata mangsa yang berusia 31 tahun sebelum itu dikatakan keluar makan malam bersama beberapa rakannya.

Kata Anbalagan polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan menemukan seorang lelaki terbaring berlumuran darah disyaki ditembak dan tidak sedarkan diri berhampiran medan selera itu kira-kira 12.35 tengah malam.

“Mayat lelaki terbabit kemudian dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat dan hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mangsa bersama rakan-rakannya telah pergi makan di medan selera tersebut kira-kira 10 malam (Rabu).

“Selepas makan malam pada 12.35 tengah malam (Khamis), mangsa berjalan menuju ke kenderaan dan secara tiba-tiba dipercayai ditembak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 21 rekod jenayah antaranya pernah dihukum di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, selain pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Anbalagan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh manakala motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Katanya polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS