Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Pejuang tak teragak-agak sokong PN 'walau tak diterima'
Diterbitkan:  May 16, 2023 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Seorang wakil rakyat Pejuang di Dewan Undangan (DUN) Negeri Selangor menyatakan kesediaannya menyokong PN dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Mohd Shaid Rosli dia akan memberikan sokongan tersebut walaupun PN tidak menerimanya.

Menurut Adun Jeram itu undi Melayu begitu penting bagi menentukan parti mana yang akan memenangi kerusi DUN terletak di bawah kawasan Kuala Selangor itu.

"Saya tidak teragak-agak menyokong PN walaupun mereka tidak menerima saya," katanya yang ditemui di Puncak Alam dan dipetik Sinar Online hari ini.

Untuk rekod Mohd Shaid adalah calon Bersatu yang diturunkan dalam PRU ke-18 pada 2018 menjadi wakil PH.

Apabila Bersatu meninggalkan PH pada suku pertama 2020, Mohd Shaid tidak menyertai majoriti wakil rakyat parti berkenaan, sebaliknya mengikut langkah Dr Mahathir Mohamad yang kemudian menubuhkan Pejuang.

Selangor - bersama lima negeri lain - dijangka akan mengadakan PRN dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut Mohd Shaid sokongan kepada PN itu dijanjikannya jika dia atau Pejuang tidak lagi bertanding di Jeram.

Katanya langkah tersebut dibuat bagi memastikan "undi Melayu" di kawasan tersebut tidak berpecah semasa PRN nanti.

Pada masa sama Mohd Shaid berkata dia sedia untuk 'bertarung' sekali lagi jika diarahkan menjadi calon Pejuang, bahkan sedia melakukannya menggunakan logo PN andai kedua-dua parti menjalin kerjasama.

"Jika Tun M (Mahathir) minta saya bertanding dalam satu logo gabungan parti Melayu, saya sedia bertanding ikut nasihat.

"Saya yakin dan percaya antara logo parti Melayu yang diterima rakyat adalah PN," katanya yang hilang deposit semasa bertanding bagi cuba memenangi kerusi parlimen Kuala Selangor pada PRU tahun lalu.

Menurut Mohd Shaid Pejuang memang tidak begitu kuat dan sukar diterima orang ramai walaupun pemimpinnya terdiri daripada tokoh yang bebas daripada isu rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya.

Dia juga menegaskan setakat ini tidak bercadang menyertai mana-mana parti selain Pejuang.

"Saya sudah ada parti dan tidak ada sebab untuk saya kembali kepada Bersatu atau pun PAS," katanya.

Lihat Komen
ADS