Wanita Umno mahu k'jaan berhemah, tegas tangani isu kalimah Allah
Wanita Umno hari ini berpendapat kerajaan perlu menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam dengan berhemah.
Ketuanya Noraini Ahmad berkata bagi menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini, isu tersebut adalah sensitif dan mesti diperhalusi dengan berhati-hati.
"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pula perlulah dibuat secara berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan agama Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraini menambah pada masa sama kerajaan perlu bersikap tegas.
“Wanita Umno menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini,” katanya.
Malaysiakini semalam melaporkan kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak, Jill Ireland, menggunakan kalimah Allah.
Notis mengenai tindakan itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.
Mahu lakukan yang terbaik
Untuk rekod pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 - yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat - adalah bertentangan dengan perlembagaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini hanya terpakai di Sarawak.
“Ini khusus dalam kes Sarawak, Sarawak tak terikat dengan keputusan-keputusan negeri (lain).
“(Keputusan ini) tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang, Selangor, ini khusus untuk kes Sarawak,” katanya.
Sementara itu Majlis Ulama Umno berkata kerajaan wajar meneruskan rayuan tersebut.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihaknya menganggap hakim mahkamah tinggi terkhilaf dalam membuat keputusan.
“Tiada isu berbangkit bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain dalam konteks Malaysia. Apatah lagi dengan adanya enakmen-enakmen peringkat negeri yang memberi perlindungan terhadap hak eksklusif umat Islam di Malaysia dalam menggunakan kalimah Allah," katanya.
Menurut Mohd Khairuddin lagi, tindakan Jill Ireland mencabar tindakan pegawai kastam yang merampas lapan cakera padat (CD) audio pada 11 Mei 2008 tetap tidak mengubah hak mutlak orang Islam menggunakan kalimah Allah dalam negara ini seperti disahkan Mahkamah Persekutuan.
Malah katanya dalam penghakiman kes Jill Ireland itu, hakim menegaskan dia tidak akan menyentuh hak penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam yang menjadi kontroversi.
"Namun begitu, Majlis Ulama Umno berpendirian hakim mahkamah tinggi dalam kes Jill Ireland telah terkhilaf membuat keputusan dan sangat wajar untuk kes ini diteruskan ke Mahkamah Rayuan.
"Kami berharap kerajaan melakukan yang terbaik selaras dengan peruntukan undang-undang bagi membetulkan kekhilafan di mahkamah tinggi," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/8a4d515b54d1b23c8567fe792c58d822.jpg)
