Kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin bahawa perdana menteri dan kerajaan cuai dalam isu penggunaan kalimah Allah adalah mengelirukan, dangkal dan lemah, kata Syed Badli Shah Syed Osman.

Anggota Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sebagai mantan menteri dalam negeri, Hamzah seperti tidak faham bahawa isu itu hanyalah teknikal yang “tidak menyentuh soal sensitiviti dan kesucian Islam”.

“Adakah Hamzah sengaja menimbulkan isu ini dengan hujah yang sangat lemah supaya rakyat termakan dengan hasutan supaya membenci kerajaan?” katanya yang juga bekas naib ketua Pemuda PKR.

Hamzah semalam berkata Anwar Ibrahim cuai dalam kenyataannya berhubung isu rayuan penggunaan kalimah Allah apabila berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan penganut Kristian Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak.

Hamzah Zainudin

Hamzah berkata rampasan lapan cakera padat (CD) Ireland berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan bukan di Sarawak, serta tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

Dalam kenyataan pagi ini, Syed Badli Shah berkata penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan pendirian kerajaan adalah jelas dan tuntas.

Bagaimanapun, kata Syed Badli Shah, Hamzah sengaja mengeluarkan kenyataan dengan hujah lemah seolah-olah beliau tidak mengerti dan tidak memahami inti pati isu itu.

“Justeru itu saya ingin menasihati Hamzah supaya berhenti membuat kenyataan yang mengelirukan. 

“Fokus bantu rakyat dan negara. Bukan cuba memecah belahkan perpaduan rakyat dengan hasutan yang tidak menguntungkan,” katanya.