Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Ini kali pertama saya dengar ahli Umno diminta undi DAP
Diterbitkan:  May 20, 2023 4:29 PM
Dikemaskini: May 21, 2023 2:42 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan seorang pemimpin Umno meminta ahli parti menyokong DAP pada pilihan raya negeri akan datang sebagai "luar biasa".

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah walaupun permintaan itu bertentangan dengan prinsip parti, terpulang kepada ahli parti itu sama ada mahu menyahut seruan itu atau tidak.

“Agak luar biasa. Saya pernah berada dalam Umno hampir 40 tahun dan ini kali pertama saya mendengar salah seorang pemimpinnya meminta ahli menyokong DAP.

“Kami (PN) membuat kajian dan mendapati pada pilihan raya lalu, pemindahan sokongan daripada Umno kepada DAP tidak berlaku.

"Apa yang berlaku ialah mereka (pengundi) menyokong PN kerana perjuangan Umno tidak seperti dahulu," kata Muhyiddin kepada pemberita semasa rumah terbuka sempena Aidifiltri Pagoh di Johor hari ini.

Dia merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan yang semalam menggesa ahli parti itu menyokong calon DAP di kawasan masing-masing bagi mengukuhkan kerajaan PH-BN.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Ahmad bertindak kerana terdesak, Muhyiddin berkata apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno sekarang, terutama oleh presidennya, telah mengheret parti itu ke penghujung hayatnya.

“Mereka (Umno) berkata perkara yang bercanggah dengan perjuangan dan prinsip mereka. Saya tahu kerana saya pernah menjadi timbalan presiden parti… dan semuanya tidak selari dengan perjuangan asalnya.

“Pilihan raya negeri akan datang akan membuktikan bahawa majoriti orang Melayu tidak lagi menyokong Umno,” tambah presiden Bersatu itu.

Lihat Komen
ADS