Segerakan pembangunan semula ‘holding bay’ bagi elakkan kesesakan
Kemudahan holding bay di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Putri yang sekian lama terbiar menjadi punca kesesakan, kata anggota parlimen Segamat.
R Yuneswaran berkata perkara itu berlaku kerana lori bermuatan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pengesahan kastam.
“Permasalahan tersebut sudah pasti turut mengundang tekanan kepada para pemandu lori yang terpaksa melayani kelemahan sistem pengendalian pemeriksaan yang tidak langsung mencerminkan Malaysia sebagai negara yang mesra dagang,” katanya dalam kenyataan media.
Justeru, penelitian yang serius terhadap cadangan pembinaan semula infrastruktur di kompleks tersebut harus dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya ingin menegaskan kepada kerajaan bahawa pembangunan semula holding bay yang merupakan infrastruktur penting di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) harus disegerakan agar laluan masuk rakyat ke Singapura lebih efisen dan teratur,” katanya.

Menurutnya peningkatan lori yang keluar masuk menerusi KSAB memerlukan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan.
Dia juga berharap pihak Imigresen dan Kastam Singapura turut memainkan peranan bersama.
“Tiada gunanya jika hanya kerajaan Malaysia sahaja yang serius dalam menyelesaikan masalah kesesakan di Linkedua tanpa dukungan bersama daripada negara republik tersebut,” katanya.
Kerajaan Johor dan KDN akan melaksanakan inisiatif lain bagi menangani isu kesesakan dengan menyelesaikan isu kekurangan staf imigresen.
/file/1213/c7e1a918a4a59f94f592643de9ba835b.jpeg)
