Pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan di Pulau Pinang tidak lama lagi bukan bermatlamatkan kemenangan semata-mata, kata Lim Guan Eng.

Menurut pengerusi DAP itu, PRN berkenaan juga adalah waktu untuk kerajaan negeri membuktikan bahawa keyakinan Muhyiddin Yassin adalah salah.

Merujuk kepada kenyataan Pengerusi PN itu, Lim berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu berhati-hati serta tidak memandang remeh ancaman daripada pihak lawan.

Antara isu yang perlu disangkal kesahikannya, menurut Lim, ialah dakwaan Muhyiddin bahawa PN mampu mendapat sokongan sehingga 80 peratus daripada undi Melayu.

“Pada PRN akan datang, kerajaan Pulau Pinang jangan ambil mudah. Kita kena bekerja keras untuk kalahkan PN.

“Buktikan bahawa 80 peratus sokongan kepada PN yang Muhyiddin cakap itu adalah omong kosong saja,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 20 Mei lalu, Muhyiddin mendakwa berdasarkan kajian yang dibuat oleh PN, sokongan dari segi populariti ke atas Bersatu, Gerakan dan PAS adalah lebih tinggi berbanding parti kerajaan. https://www.malaysiakini.com/news/665846

Lim dalam kenyataan hari ini turut berharap supaya PH dan BN bukan sahaja dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenangi pada PRU lalu, bahkan menambah bilangannya.

Pada masa sama Lim yang pernah menjadi ketua menteri Pulau Pinang memberitahu, selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan, masih ada pihak tertentu yang enggan menerima hakikat.

"Ada yang cuba berkali-kali untuk menumbangkan atau menggantikan kerajaan yang absah dan diiktiraf oleh Yang di-Pertuan Agung serta diterima oleh rakyat Malaysia.

“Kita jangkakan dewan undangan negeri akan dibubarkan pada akhir bulan Jun ini dan hari membuang undi dijangka akan diadakan pada awal bulan Ogos.

“Inilah masanya rakyat dari enam buah negeri ini harus menunjukkan apa yang dititah dan diputuskan oleh Agong demi membentuk kerajaan perpaduan adalah satu keputusan yang bijak yang membolehkan Malaysia dan rakyat terus mara,” katanya.

Untuk rekod selain Pulau Pinang, lima negeri lain turut terbabit dalam PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.