Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disyaki seleweng hampir RM25 juta dana Kesedar: Lelaki direman 7 hari
Diterbitkan:  May 27, 2023 5:54 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki menyeleweng lebih RM24.8 juta daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Siasatan awal polis mendapati lelaki itu yang merupakan penolong akauntan telah melakukan 194 transaksi sejak 2016 dengan memindahkan sejumlah RM24,800,189.73 daripada akaun Kesedar ke akaun sebuah syarikat miliknya.

"Bertindak atas laporan yang diterima, pada 27 Mei 2023 jam lebih kurang 12.21 tengah malam (tadi) sepasukan pegawai bersama anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Gua Musang telah membuat tangkapan ke atas suspek di rumahnya di Bandar Gua Musang, Kelantan.

"Suspek (37 Tahun) direman tujuh hari bermula hari ini 27 Mei 2023 hingga 2 Jun 2023 untuk siasatan lanjut," maklum Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun (gambar, atas) pada satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan berkaitan pekerja yang melakukan jenayah pecah amanah terhadap harta yang telah diamanahkan kepadanya.

Muhamad Zaki berkata pihaknya telah menerima laporan polis buat kali pertama pada petang 26 Mei lalu berhubung kehilangan dana kerajaan yang dikendalikan Kesedar antara tempoh Disember 2016 hingga Mei 2023.

Lihat Komen
ADS