Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cikgu ponteng' - K'jaan digesa lindungi guru pemberi maklumat
Diterbitkan:  May 31, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Penyokong kempen 'Tiada Guru' yang membangkitkan dakwaan 'guru ponteng' di Sabah menggesa kerajaan memberi perlindungan kepada Nurhaizah Ejab sebagai pemberi maklumat.

Dia merupakan bekas guru yang memberi keterangan di mahkamah dalam kes saman terhadap pendidik yang tidak hadir mengajar di sekolah berulang kali.

Bekas pelajar Nurhaizah, Safiah Omar, bersama kumpulan Kempen Tiada Guru turut menggesa kerajaan memperluas perlindungan sebagai pemberi maklumat kepada semua penjawat awam

"Di manakah ahli politik, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan?

Gambar fail, empat bekas pelajar menyaman ‘cikgu ponteng’.

"Polis dan SPRM perlu menyiasat sebarang tindakan jenayah yang dikongsi oleh Cikgu Nurhaizah dan ketiga-tiga Plaintif melalui keterangan, dokumen dan rakaman audio video mereka.

"Kerajaan perlu segera memberi perlindungan penuh kepada Cikgu Nurhaizah.

"Perbicaraan kedua nanti, beliau akan dipanggil sekali lagi bagi memberikan kenyataan terhadap defendan yang sama," katanya pada satu kenyataan merujuk kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belud.

Empat pelajar sekolah itu telah menamakan guru Bahasa Inggeris Tingkatan 4 Mohd Jainal Jamran, pengetua sekolah Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Bekas pelajar SMK Taun Gusi Siti Nafirah Siman.

Mereka berkata Jainal tidak hadir untuk mengajar selama beberapa bulan pada 2017 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun dimaklumkan mengenai guru yang didakwa 'ponteng' itu.

Ini kes saman kedua yang difailkan oleh pelajar terhadap defendan yang sama.

Kes pertama difailkan oleh bekas pelajar SMK Taun Gusi Siti Nafirah Siman (gambar, atas) pada 2018 manakala kes kedua difailkan pada 2020.

Pada Jan lalu, Nurhaizah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa aduan dan laporannya mengenai guru yang tidak hadir itu tidak diendahkan pada 2015.

Kata Nurhaizah lagi, apabila isu itu berulang melibatkan guru yang sama pada 2017, dia mengambil strategi berbeza termasuk membuat 80 rakaman video dengan tanda masa perjalanan kelas itu apabila rakan sekerjanya tidak hadir.

Nurhaizah ketika memberi keterangan turut mengesahkan kejadian pada 2015 pernah menerima ancaman terhadap keselamatannya selepas membangkitkan isu guru ponteng sekolah.

Sementara itu, Kempen Tiada Guru juga berkata semua ahli parlimen mesti menyokong undang-undang perlindungan pemberi maklumat yang bebas daripada campur tangan eksekutif.

"Mengapa kakitangan kerajaan mengancam pemberi maklumat guru kita?

"Guru bersedia untuk bersuara. Semua ahli parlimen mesti menyokong Ombudsman Awam yang bebas untuk menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya," kata kumpulan itu lagi.

Lihat Komen
ADS