mk-logo
Berita
Timbalan menteri S'wak diserang, polis buka kertas siasatan
Diterbitkan:  Jun 2, 2023 3:21 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Polis menyiasat dakwaan kejadian serangan terhadap seorang timbalan menteri Sarawak pada Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata timbalan menteri yang tidak dinamakan itu mendakwa diserang berhampiran rumahnya di Tabuan Jaya pada 9.06 malam pada 30 Mei lalu.

"Dalam aduan tersebut, pengadu mendakwa melihat empat suspek dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan serta menegur mereka.

"Salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dengan teguran telah cuba menyerang dan mengasari beliau sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian belakang badan," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, katanya.

Sambil menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi, Mohd Azman menyeru mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Rathna Borhan di talian 019 817 6267.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang timbalan menteri mendapatkan rawatan hospital bagi mengubati kecederaannya sebelum membuat laporan polis.

Polis kena saman letak motor di tempat OKU

Dalam perkembangan lain, polis Petaling Jaya di Selangor mengesahkan telah menyaman anggotanya sendiri kerana menyalahgunakan tempat letak kereta untuk orang kurang upaya.

Bahagian trafik mengeluarkan saman terhadap seorang kakitangan, yang meletakkan motosikal Honda ST 1300 miliknya di tempat letak kenderaan orang kurang upaya di kompleks Pangsapuri Flora Damansara pada Isnin.

Difahamkan motosikal itu turut disita oleh pihak keselamatan bangunan.

Motosikal itu milik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, kata pihak polis.

Perkara itu disiasat selepas seorang pengguna Twitter memuat naik gambar kejadian itu.

Bagaimanapun, ciapan yang telah dilihat lebih daripada 37,000 kali itu telah dipadamkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menegaskan pasukannya tidak sesekali akan berkompromi dengan pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan yang termaktub dalam undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang melanggar undang-undang. Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arah papan tanda jalan,” katanya.

Lihat Komen
ADS