Tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan isu sempadan Pulau Pinang dan Kedah.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata semua pihak wajib akur dengan kedudukan Pulau Pinang seperti termaktub dalam perlembagaan.

"Saya difahamkan ada laporan polis telah dibuat, saya serah kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan juga mengambil apa-apa tindakan yang patut.

"Polis bebas menyiasat di bawah mana-mana akta, (manakala) Peguam Negara pula boleh memutuskan sekiranya akan membuat pendakwaan mengikut undang-undang yang dirasakan sesuai," katanya semasa sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Komuniti Madani di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Pada masa sama, Fahmi menegaskan tidak ada syak wasangka atau waswas mengenai kedudukan negeri terbabit kerana di dalam perlembagaan memang jelas disebut "Negeri Pulau Pinang".

Tambahnya jika ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan menyebarkan maklumat palsu, pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk menyiasat bagi mengekang maklumat-maklumat tidak benar daripada tersebar.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor beberapa hari lepas yang berkaitan dengan Pulau Pinang dan Kedah.

- Bernama