PRN: BN Negeri Sembilan yakin dapat 2 lagi kerusi DUN
BN memohon untuk mendapatkan dua kerusi tambahan untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan iaitu masing-masing satu kerusi dalam kawasan parlimen Seremban dan Jelebu.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata BN ditawarkan 16 kerusi DUN namun membuat permohonan berkenaan supaya agihan antara BN dan PH sama rata.
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata permohonan tersebut akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.
"BN optimis akan dapat dua lagi kerusi," katanya.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengurusan Trafik LLM di Wisma Lebuh Raya di Kajang hari ini.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH menguasai 20 manakala bakinya dikuasai BN.
Lima lagi negeri yang bakal mengadakan PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/8403efa426d994baf6f61b9a8ea4dff6.jpg)
