Mahkamah Rayuan semalam mengetepikan hukuman penjara dua tahun ke atas bekas ketua pegawai eksekutif Transmile, Gan Boon Aun, yang dijatuhkan mahkamah tinggi kerana mengemukakan penyata kewangan mengelirukan mengenai syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia).

Sebaliknya, panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, M Gunalan dan Azman Abdullah mengekalkan keputusan mahkamah sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2.5 juta pada 27 Ogos 2020.

Hadhariah yang menyampaikan keputusan memerintahkan keputusan mahkamah tinggi menaikkan hukuman penjara terhadap Gan sebagai batal dan tidak sah kerana bercanggah dengan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah.

Dia berkata kedua-dua notis rayuan dan notis pendengaran tidak diserahkan oleh pihak pendakwaan terus kepada Gan di mahkamah tinggi seperti yang dikehendaki seksyen 314.

Hadhariah juga berkata tiada merit dalam hujahan Suruhanjaya Sekuriti yang menyatakan peguam mewakili Gan tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Suruhanjaya Sekuriti berhujah notis rayuan yang difailkan peguam Gan tidak mengikut prosedur kerana dia menerima arahan daripada anak perempuan Gan bagi memfailkan notis rayuan sedangkan arahan perlu datang daripada tertuduh sendiri.

Peguam Gan, Guok Ngek Seong, mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Gan meninggalkan Malaysia sebelum pendengaran rayuan di mahkamah tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan mahkamah sesyen dan rayuan silang terhadap hukumannya yang dibawa oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Dia sudah menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda yang dikenakan.

Pada 25 Jan tahun lepas mahkamah tinggi membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti dan menambah hukuman penjara Gan daripada sehari kepada 24 bulan.

Gan didapati bersalah oleh mahkamah sesyen kerana mengemukakan kenyataan mengelirukan dengan niat untuk memperdaya berkaitan perolehan Transmile dalam laporan suku tahunan belum diaudit bagi tahun berakhir 31 Dis 2006.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 122B (a) (bb) Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983 (Akta 280) yang dibaca bersama dengan Seksyen 122 (1) akta yang sama.

V Sithambaram dan Guok mewakili Gan pada prosiding semalam sementara pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Sekuriti Mohd Hafiz Mohd Yusoff.

- Bernama