Adun Chennah selama dua penggal, Anthony Loke mengumumkan akan terus mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.
Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira senario politik semasa serta sentimen tempatan di negeri itu.
Memetik tinjauan, Loke berkata 70 peratus pengundi di kawasan itu menyokongnya untuk terus mewakili mereka.
“Sudah tentu sokongan tertinggi adalah dalam kalangan masyarakat Cina iaitu 90 peratus.
“Tetapi apa yang turut mendorong saya ialah mengikut hasil tinjauan, saya mendapat sokongan padu di kalangan pengundi Melayu dengan penilaian kelulusan lebih 50 peratus,” katanya kepada pemberita di Jelebu hari ini.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, selama 10 tahun dia telah berhubung dan mendekati masyarakat setempat termasuk penduduk kampung Melayu luar bandar.
“Saya telah berkhidmat kepada mereka dengan sepenuh hati, dan saya ingin membuktikan bahawa walaupun saya menentang calon PN (Perikatan Nasional), saya boleh menang dan saya berharap untuk menang - bukan sahaja di kalangan pengundi Cina, tetapi juga pengundi Melayu,” katanya yang juga ahli parlimen Seremban.
Sebelum ini dilaporkan BN Negeri Sembilan telah meminta kerusi DUN Chennah.
Menjawab perkara itu, Loke berkata dia menyerahkan keputusan mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi DUN berkenaan kepada pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Loke memenangi kerusi DUN Chennah dengan majoriti 1155 undi pada pilihan raya umum ke-14.
