Tawaran BN-PH Kelantan dah lama PAS laksanakan, kata Mohd Amar
PAS Kelantan mendakwa sebahagian daripada tawaran yang dikemukakan BN dan PH dalam manifesto untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini sebagai bukan sesuatu yang baru.
Malah Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata potongan bayaran cukai yang ditawarkan sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang.
“Diskaun (dikemukakan BN-PH), kita pun ada buat, begitu juga dengan tunggakan cukai tanah kita bagi diskaun sehingga 50 peratus.
“Ada juga cukai pintu yang kita hapuskan. Itu kita dah buat dan bukan satu benda baru dengan manifesto mereka,” katanya ketika tampil dalam sidang media harian sempena PRN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan tawaran potongan bayaran premium tanah, bayaran pecah lot tanah dan diskaun tunggakan serta cukai pintu antara perkara yang menarik ditawarkan BN dan PH sekiranya diberi mandat mentadbir Kelantan.
Sementara itu Mohd Amar yang juga calon dan penyandang kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor berkata di sebalik pelbagai janji itu manifesto BN-PH tidak pun menyebut perancangan mereka untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.
"BN dan PH selalu sebut masalah besar di Kelantan ialah masalah air.
"Tiba-tiba dalam manifesto, dia tidak sebut masalah air termasuk apa perancangan, apa usaha, langkah dan program yang nak dibuat untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.
"Jadi sepatutnya itu menjadi keutamaan dalam manifesto mereka. Di situ kita nampak apa tujuan mereka serang dan kritik kerajaan (negeri) dalam isu air," katanya.
Tambah timbalan menteri besar sementara Kelantan itu, PAS mengakui dan tidak pernah menafikan wujudnya masalah air di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
"Kita tidak pernah menafikan adanya masalah air sama ada di dalam dewan (DUN) atau di luar dewan. Saya mengakui ada masalah air, cuma gambaran yang diberikan oleh musuh politik kita ini melampau.
"Ia seolah-olah satu negeri tidak air, satu negeri air keruh.
"Masalah kita, bantuan (daripada) kerajaan pusat, dan kita akui (memang) ada sumbangan (dari Putrajaya) tetapi tidak cukup.
"Contohnya, kita perlu RM2 bilion, tapi dia bagi RM100 juta, RM200 juta... macam mana nak selesai," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/ad5663d0ddd9178b898ab1ae6543cc26.jpg)
