Bekas Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, membuat laporan polis apabila mendakwa dia dihina dan diugut oleh calon PH untuk kerusi berkenaan, Kumaran Krishnan, serta beberapa rakannya.

Menurut Satees, 38, kejadian itu berlaku petang tadi ketika dia pergi memeriksa peti undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior di Butterworth.

Kata Satees - yang bertanding di Bagan Dalam sebagai calon bebas kali ini - dia membuat pemeriksaan tersebut bagi mengelakkan kejadian seperti di pusat mengundi di Paya Terubong berlaku.

Berdasarkan laporan polis, bekas ahli DAP itu mendakwa dia diejek oleh Kumaran apabila tiba di sekolah terbabit.

“Dia kemudian membawa sekumpulan lelaki yang tidak mempunyai pas masuk ke pusat mengundi dan semua mereka mula memarahi dan mengugut saya.

"Kumaran juga mengajak saya bergaduh satu lawan satu.

"Saya tidak melayan ugutan dan ejekan mereka, tetapi mereka terus berbuat demikian," dakwanya.

Menurut Satees, kumpulan itu turut memarahi seorang pengawal wanita yang memanggilnya sebagai "YB" (yang berhormat).

“Ketika saya dan ejen saya keluar dari pagar sekolah, sekurang-kurangnya lapan lelaki mengepung kami dan mengejek serta mengugut kami," katanya.

Justeru Satees berkata dia membuat laporan polis kerana berasa terancam dan bimbang akan keselamatan dirinya.

[Baca berita penuh]