Penganalisis: MB baru Kelantan perlu jalin hubungan baik dengan pusat
Menteri Besar Kelantan yang baru perlu berintegriti dan menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan pusat demi kesejahteraan rakyat di negeri itu, kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Rusdi Omar.
Rusdi berkata kerjasama itu penting untuk memastikan Kelantan tidak ketinggalan dalam segala aspek seperti isu ketidakseimbangan pembangunan negeri dan wilayah, ekonomi, selain penyelesaian masalah air yang berlarutan di negeri tersebut.
"Menteri besar juga perlu memiliki perwatakan yang mesra dengan rakyat dan kerajaan pusat, selain bersikap profesional serta tidak mudah melatah dengan isu-isu yang dibangkitkan rakyat.
"Dalam tempoh lima tahun ini juga, rakyat akan melihat dan menilai bagaimana corak kepimpinan dan perubahan yang dilakukan sama ada masih di takuk yang lama atau mempunyai pentadbiran yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata pemilihan calon menteri besar yang baru perlulah seorang yang mampu menyatukan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat, kaum dan agama.
"Kempimpinan baru di Kelantan perlu diterajui oleh barisan yang menjaga kepentingan dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan sebagainya," katanya.
Semalam, Pengerusi PN Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan menteri besar Kelantan yang baru dijangka mengangkat sumpah pada Selasa ini.
Ahmad, yang memegang jawatan menteri besar Kelantan sejak 2013, berkata ia susulan PAS berjaya membentuk kerajaan negeri, selepas menang 43 daripada 45 kerusi DUN pada PRN semalam.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS dijangka memiliki gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar yang baru selepas PRN ini.
-Bernama
/file/1239/16a1306fc8b7f8baaaced63a01d7704b.jpeg)
