Siasatan mengenai bom bawah kereta Siti Kasim temui jalan buntu
Siasatan berhubung penemuan dua bom buatan sendiri (IED) di bawah kereta aktivis dan peguam Siti Kasim bulan lalu menemui jalan buntu.
Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penelitian terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan adanya individu berpotensi sebagai suspek.
"Berdasarkan hasil pemeriksaan, kita juga tidak menemui sebarang cap jari pada alat letupan berkenaan. Hanya cap jari Siti Kasim dikesan pada kenderaan terbabit.
"Buat masa ini, kita tidak ada 'lead' (petunjuk) untuk menjuruskan kepada sesiapa. Bagaimanapun, siasatan masih dibuka dan kes berkenaan tidak pernah ditutup.
"Kita berharap sesiapa yang ada maklumat, boleh panjangkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mohd Shuhaily berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Shuhaily, yang baru dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjelaskan polis telah merekodkan keterangan daripada 13 individu, namun tiada seorang pun daripada mereka dapat membantu siasatan.
Kesemua 13 individu berusia antara 26 hingga 60 tahun itu terdiri daripada rakan, mekanik, pengawal keselamatan, dan Siti Kasim sendiri.
Pada 21 Julai lalu, Siti Kasim menghantar keretanya ke pusat servis di Bangsar, Kuala Lumpur, sebelum seorang mekanik menemui objek mencurigakan dilekatkan pada bahagian bawah kenderaan itu.
Polis kemudiannya mengerahkan unit pemusnah bom dan berjaya mengeluarkan bom berkenaan.
Analisis polis mendapati dua botol ditemui itu adalah bahan letupan aktif yang mengandungi diesel, kain, bahan mercun, bateri, litar, wayar serta suis.
Polis turut menemui suis manual untuk mengaktifkan bahan letupan itu, dan ia boleh diletup menggunakan alat kawalan jauh.
Bagaimanapun ketika alat letupan itu ditemui, suisnya berada dalam mod tertutup.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/9cfd83085ad15879a04bd1b142c6471f.jpg)
