FMM saran kerajaan tubuh Majlis Madani
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menubuhkan Majlis Madani dan jawatankuasa pemandu membabitkan kementerian dan sektor swasta untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan sektor swasta dan awam, serta pihak berkepentingan.
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata langkah itu akan membantu menyelaraskan usaha negara dengan nilai-nilai Madani yang diperjuangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selain memastikan penyelarasan yang betul bagi semua strategi untuk mencapai penunjuk prestasi utama dan pelan tindakan.
Susulan berakhirnya pilihan raya negeri baru-baru ini, FMM berkata, mereka berharap mendapat sokongan berterusan daripada kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha penciptaan nilai yang mampan dan berdaya saing, terutamanya melalui aktiviti pembuatan yang dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan baru melalui kerangka Ekonomi Madani.
“Kestabilan politik dan kejelasan dasar terus menjadi pertimbangan utama bagi pelabur asing dan domestik.
“Kami menyeru exco kerajaan negeri yang baru untuk terus memberi sokongan kepada sektor perniagaan dengan dasar properniagaan yang diperbaharui bagi meningkatkan keyakinan pelabur, yang merupakan kunci untuk perniagaan mencapai kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soh berkata kerajaan juga diharap dapat terus melaksanakan pendekatan berorientasikan hasil dan misi, serta kekal fokus kepada pemulihan ekonomi dan dasar yang betul dengan mengukuhkan asas ekonomi, termasuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Selain itu, kata FMM, komuniti perniagaan juga memerlukan persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan untuk memastikan industri terus berdaya saing dan mampan serta berkembang pesat.
“Justeru adalah penting agar semua dasar dan langkah yang dilaksanakan bagi membantu pemulihan perniagaan dan ekonomi berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu kredibiliti, kejelasan, konsisten dan kepastian,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/05/b635c2cb44c4037a1d993a0d4fe6603d.jpg)
