Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan dia akan terus bersuara mengenai isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) walaupun berterusan disiasat pihak berkuasa.

Mahathir dipetik oleh portal Berita Harian sebagai berkata dirinya sudah sembilan kali dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung isu 3R.

"Nak siasat, siasatlah... ini sudah sembilan kali saya dipanggil. Selepas ini 10, 11 (kali)... tak apa, kita akan kira berapa kali dipanggil," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar, malam tadi.

Dia juga dipetik oleh akhbar harian itu dalam mengulangi dakwaannya bahawa larangan membangkitkan isu 3R adalah tidak perlembagaan.

"Saya baca Perlembagaan beberapa kali, hendak cari adakah Perdana Menteri boleh membuat undang-undang sedangkan yang boleh buat (undang-undang) adalah Dewan Rakyat.

Katanya, dia telah membaca Perlembagaan Persekutuan berulang kali untuk mengetahui sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh membuat undang-undang sedemikian, tetapi mendapati hanya Dewan Rakyat yang boleh berbuat demikian.

"Dia (Perdana Menteri) nak tutup mulut kita bercakap isu 3R, apa hak dia? Tetapi saya tahulah beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh suruh polis soal saya.

"Saya nak cakap juga untuk bangsa saya. Saya tak nak melihat bangsa saya hilang negara.

"Saya tahu apa yang diucapkan di sini akan dicatat pihak tertentu... saya kena panggil pula lagi. Kalau tanya kenapa cakap macam itu, jawapan saya senang saja... kalau salah dakwa di mahkamah. Selepas itu, bolehlah saya jawab di mahkamah.

"Namun, mereka kata ada undang-undang yang mana mereka boleh tangkap saya tetapi tidak perlu dibawa ke mahkamah," dakwanya.

Pada 18 Ogos, bekas perdana menteri berusia 98 tahun itu dipanggil polis untuk merakamkan kenyataan berhubung komennya mengenai masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Pada hari yang sama, Mahathir menuduh kerajaan dan polis melakukan penguatkuasaan terpilih dalam siasatan terhadap kenyataannya.

Dia mendakwa siasatan polis adalah cubaan untuk mengugut dan menutup mulutnya daripada bercakap tentang masalah yang dialami oleh orang Melayu dan daripada mengulangi dakwaannya bahawa “Malaysia adalah Tanah Melayu”.

Pada 29 Ogos lalu, polis sekali lagi merakamkan kenyataannya bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi raja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lalu.