IGP: Kertas siasatan Hadi, Mahathir diserah ke AGC
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyerahkan kertas siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikai kuasa lembaga pengampunan dalam ceramah di Muar, Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata PDRM telah melengkapkan siasatan kes berkenaan semalam dan menyerahkan kertas siasatan itu pagi tadi.

“Kami menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan 4th National Forensic Science Symposium for Law Enforcement 2023 di Maktab PDRM di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan terhadap Abdul Hadi telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Ia berhubung kenyataan Abdul Hadi yang didakwa mempertikai kuasa lembaga pengampunan dalam ceramahnya di markas PAS di Bakri, Muar pada bulan lepas.
Sementara itu, berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang dikatakan menghina institusi diraja, Razarudin berkata kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.

Mahathir dikatakan membuat kenyataan berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja yang disiarkan MGNews pada 6 Jun.
Jerat tak lupa pelanduk
Mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, Razarudin berkata ia masih diteruskan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Selain itu, Razarudin berkata, kertas siasatan terhadap Loo - yang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah - telah serahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Ogos lepas.

Pada Isnin lalu PDRM telah berjaya mendapatkan semula sejumlah RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Bercakap pada sidang media itu juga, ketika diminta mengulas mengenai usaha menjejaki Low Taek Jho atau Jho Low yang masih jauh, Razarudin berkata PDRM sama sekali tidak pernah berhenti daripada menjejaki ahli perniagaan terbabit.
“Seperti saya beritahu sebelum ini, jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Ia sama juga seperti Jasmine Loo, orang tidak bertanya mengenai keberadaannya sebelum ini tetapi polis berjaya membawa balik beliau,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengesahkan PDRM akan mengambil keterangan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada Selasa depan berhubung isu ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya.
Muhyiddin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat sebagai haram.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/a5c59fea957edd417b2b2e613a4e06c8.jpg)
