Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Abduh, Suhaizan angkat sumpah di parlimen
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 11:37 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Suhaizan Kaiat pula mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai di hadapan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Nik Abduh dilantik kerajaan Kelantan awal bulan ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ahli parlimen Jeli, Mohamad Affandi Mohamad.

Mohamad Affandi menamatkan penggal perkhidmatannya selepas menjadi senator selama dua penggal pada 7 Julai lalu.

Nik Abduh, 53, merupakan antara pemimpin berprofil tinggi yang pernah dianggap sebagai pelapis untuk mengemudi PAS pada suatu hari nanti.

Selain terpilih menjadi ketua Pemuda PAS Pusat dia juga pernah mendapat undi tertinggi dalam pemilihan jawatakuasa parti itu di peringkat kebangsaan.

Bagaimanapun dalam pemilihan parti itu pada 2021 dia gagal memperoleh sokongan yang mencukupi untuk menempatkan dirinya secara automatik dalam badan tersebut.

Pun begitu di sebalik kekalahannya PAS membawa Nik Abduh menyertai jawatankuasa terbabit secara lantikan.

Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dia dilaporkan berminat untuk bertanding di kerusi Chempaka yang pernah diwakili bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun namanya tidak disenaraikan oleh PAS Kelantan.

Sebelum ini Nik Abduh pernah menjadi ahli parlime Pasir Mas pada 2013 sebelum berpindah ke Bachok pada 2018.

Sementara itu Suhaizan memenangi pilihan raya kecil Pulai ekoran kematian mengejut penyandangnya Salahuddin Ayub.

Dia mempertahankan kerusi Pulai untuk Amanah dengan kemenangan selesa apabila memperoleh 61.55 peratus daripada keseluruhan undi yang dikeluarkan.

Untuk rekod Suhaizan juga pernah menjadi ketua Pemuda PAS Pusat.

Dia mengetuai sayap PAS itu bagi sesi 2013 hingga 2015 sebelum tempatnya digantikan oleh Nik Abduh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS