Akta Hasutan: Semoga kuasa tak butakan mata kita, kata Muda
Parti Muda mendesak PH kembali ke landasan reformasi yang diperjuangkan mereka dan menghapuskan Akta Hasutan 1948.
Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi, berkata ketika parti itu tidak bersetuju dengan sebarang kenyataan berbentuk penghinaan, komitmen kerajaan terhadap akta berkenaan kini diragui.
Kata Amir parti-parti dalam PH sendiri sebelum ini giat berjuang melawan Akta Hasutan termasuk melalui tertubuhnya Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) pada 2014.
"Muda menggesa kerajaan - khususnya rakan-rakan dalam PH - agar kembali berpegang pada agenda reformasi yang sekian lama dilaungkan.
"Kami mendoakan agar kuasa tidak membutakan mata kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gesaan Muda itu hadir menyusul selepas Mahkamah Rayuan menetapkan pendakwah dan penulis, Wan Ji Wan Hussin, kekal dikenakan hukuman penjara sembilan bulan hari ini.
Asalnya kira-kira 11 tahun lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam mensabitkan Wan Ji atas pertuduhan menghina dengan mengaitkan Sultan Selangor. Dia kemudian dihukum penjara setahun.
Pihak pendakwaan kemudian merujuk kes tersebut ke mahkamah tinggi dan hukuman penjara itu ditambah kepada setahun.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail bagaimanapun hari ini mengembalikan tempoh hukuman penjara ke atas Wan Ji kepada sembilan bulan.
Bagaimanapun permohonannya untuk membatalkan sabitan berkenaan ditolak.
Amir berkata GHAH pernah disokong pemimpin pembangkang ketika itu dengan membawa tiga tuntutan termasuklah menghapuskan akta tersebut.
Dua lagi tuntutan berkenaan ialah agar kerajaan menggugurkan semua pertuduhan mengikut Akta Hasutan, dan tiada akta lain seumpamanya digubal sebagai ganti.
Kata Amir selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan, penggunaan Akta Hasutan meningkat 1,000 peratus bagi tempoh 2012 hingga 2015.
"Ini menunjukkan bagaimana akta berkenaan digunakan untuk tujuan politik kerana rata-rata pihak yang disiasat dan didakwa ketika itu terdiri daripada ahli politik dan aktivis pembangkang.
"(Ada antara ) Mereka itu kini adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/fc981bad3d72602336fb52eb21e6151e.jpg)
