Tiada lagi lesen baru rumah urut di Alor Setar
Pejabat Tanah dan Daerah Kota Setar (PTDKS) dan Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) tidak akan lagi mengeluarkan lesen baru rumah urut berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat susulan keputusan mesyuarat exco Kedah pada 21 Jun lalu atas alasan untuk “membendung kegiatan tidak bermoral terus berlaku”.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar Alor Setar Mohd Yusri Md Daud melalui media sosial Majlis Bandar Raya Alor Setar pagi ini.
Sementara itu, China Press melaporkan Mohd Yusri sebagai berkata arahan itu hanya berkaitan dengan lesen baru.
Pemilik lesen lama bagaimanapun, tambahnya, boleh memperbaharui lesen selagi tidak terlibat dalam perlanggaran undang-undang.
Katanya, arahan juga terhad kepada pusat urut dan tidak melibatkan spa.
Disember tahun lalu, kerajaan Kedah turut mengekang perjudian di negeri itu dengan tidak lagi memperbaharui lesen kedai nombor ekor.
Perubahan dasar itu dilaksanakan susulan pentadbiran baru kerajaan bawah pimpinan PAS yang diketuai oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/1fc78b4348e4d6a4030f5f3ab1d1c523.jpg)
