PRK PELANGAI | Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin harus melihat reputasi sendiri sebelum menuduh Umno telah hilang arah, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Ini selepas bekas perdana menteri itu berkata Umno kini di "celah kelangkang" DAP dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wan Rosdy, yang merupakan naib presiden Umno, berkata Bersatu sendiri telah membuat pakatan politik dengan DAP dua kali pada masa lalu.

"Jadi dia kena tengok track record parti dia sebelum kata orang lain. Sebab sejarah tak boleh berbohong.

"Sejarah mengatakan mereka dua kali dengan DAP sebelum PRU.

Kita selepas PRU (sebab) tak ada kerajaan boleh dibentuk dan kita menyahut seruan Agong," katanya.

Wan Rosdy merujuk kepada PAS dan Bersatu, yang pernah beberapa kali bekerjasama dengan DAP sebelum ini.

Pada Selasa, Muhyiddin semasa sesi dialog menggesa penyokong BN di Pelangai supaya memberikan sokongan kepada PN.

“Saya dulu bapa Umno juga, timbalan presiden Umno tapi ditendang.

"Sekarang di mana Umno? Di celah kelangkang Anwar dan DAP," kata presiden Bersatu itu.