Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris menggesa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memastikan Belanjawan2024 benar-benar dirasai oleh rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Razali berkata masalah utama setiap kali belanjawan dibentangkan adalah pelaksanaan dan tatakelola yang lemah sehingga bantuan sering kali tidak kesampaian atau lewat.

"Soal besar sekarang adalah setakat mana pencapaian Belanjawan 2023 yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan di bawah Ekonomi Madani telah dicapai dan rakyat berhak untuk mengetahui apa yang telah direalisasikan atau sebaliknya dan sekarang pula Belanjawan 2024.

"Negara ini selalu dimomokkan dengan angka memukau, contohnya kadar pengangguran yang berjaya diturun kepada 3.4 peratus setakat Ogos 2023 tetapi hakikatnya ramai yang masih menganggur yang bukan sahaja lepasan graduan tetapi golongan B40 dan M40 yang kehilangan pekerjaan masih terus bergelut mencari pekerjaan baru serta mencari gantian atau mengembalikan status gaji yang lebih baik.

"Malahan antara isu yang selalu dimomok-momokkan adalah pelaburan asing yang dibawa masuk ke negara ini dan diumumkan negara berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion bagi separuh pertama 2023 yang mencipta jangkaan lebih 51,000 peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion.

Peningkatan ketara berbanding Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM372.3 bilion dan Bajet 2022 berjumlah RM322 bilion.

Belanjawan bertemakan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ menyediakan RM303.8 bilion bagi Belanja Mengurus dan RM90 bilion bagi Belanja Pembangunan dan RM2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

Dalam pada itu Razali berkata, rakyat inginkan jawapan mengenai kejayaan pelaburan yang telah diluluskan kerajaan sebelum ini.

"Soalnya rakyat hendak tahu apakah pelaburan yang diluluskan itu setakat mana pula ia berjaya direalisasikan kerana kadang-kala dinyatakan diluluskan tetapi apabila diselidiki, projek pelaburan yang diluluskan tidak mencapai syarat-syarat yang dikehendaki tetapi tidak diumumkan pula kepada rakyat.

"Jadi apakah negara ini benar-benar berada di landasan yang tepat ?

"Perdana menteri yang juga Menteri Kewangan sendiri dalam ucapan Belanjawan 2024 telah mengatakan pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus, apa maknanya ? Apa sebenarnya unjuran pada tahun 2024 pula?," soal Razali.