Sekumpulan kira-kira 15 hingga 20 orang mengadakan perhimpunan solidariti untuk penyunting Kean Wong di hadapan balai polis Dang Wangi.

Ini selepas Wong ditahan reman sehari berhubung kulit buku yang memaparkan jata negara yang telah diubah suai, yang diterbitkan tiga tahun lalu.

Peguamnya Ivan Teng Jun Hong mengesahkan kepada media bahawa reman Wong selama sehari.

“SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan tiba selepas makan tengah hari untuk mengeluarkan maklumat daripada e-mel dan telefonnya.

“Jika ini dapat diselesaikan hari ini, kemungkinan Kean Wong akan dibebaskan petang ini sekitar jam 5-6 petang.

“Jika tidak, esok jam 12.30 tengah hari,” kata Teng.

Antara wakil NGO yang hadir ialah Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy. Dalam satu kenyataan pagi ini, dia mengecam penahanan Wong.

“Sudah dijelaskan tiga tahun lalu bahawa imej berkenaan adalah daripada lukisan minyak, yang pernah dipamerkan secara terbuka enam tahun sebelum itu pada 2014 tanpa sebarang isu ketika pentadbiran BN masih berkuasa.

"Lebih penting lagi, perkara yang didakwa di sini bukanlah intipati buku itu, iaitu kandungan dan hujahnya mengenai pilihan raya umum 2018 dan peralihan negara kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH)," kata Sevan.

Wong yang berpangkalan di luar negara Wong sedang disiasat berhubung kes hasutan tiga tahun lalu selepas dia menyunting buku kontroversi Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope in New Malaysia yang terbit pada 2020.

Dia ditahan di bangunan Jabatan Imigresen Kelana Jaya pagi semalam.

Difahamkan Wong mendarat di KLIA minggu lalu dan memasuki negara ini dan sumber memaklumkan bahawa percubaan Wong untuk memperbaharui pasport Malaysianya mencetuskan amaran dalam sistem imigresen berdasarkan "senarai suspek" polis.

Suaram menyifatkan siasatan itu sebagai salah satu bentuk intimidasi.

“Taktik intimidasi daripada penyiasatan hingga pertuduhan mahkamah terhadap penghasilan imej parodi bukanlah perkara baru, dengan salah satu yang terbaru ialah penangkapan dan penahanan Fahmi Reza berhubung kartun ‘Sultan’ Mojo Jojo pada 2022.

“Tindakan pihak berkuasa pada 2020 terhadap imej jata negara yang diubah suai, daripada serbuan Gerak Budaya hingga pengharaman buku oleh Kementerian Dalam Negeri, cukup menyedihkan.

"Melalui pelaksanaan semula taktik penangkapan dan penahanan yang zalim, jelas sekali membimbangkan bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang mempunyai komitmen yang tidak menentu untuk menegakkan kebebasan asasi kita untuk bersuara, dan pasukan polis mempunyai keutamaan yang tidak betul apabila sumber-sumber ini boleh digunakan lebih baik untuk menghalang jenayah serius yang menjejaskan keselamatan awam.

"Sama pentingnya, persekitaran bermasalah di mana perdebatan kritikal mengenai isu kepentingan awam dan ekspresi artistik terus dijenayahkan dan ditapis, terutamanya kerana undang-undang zalim seperti Akta Hasutan masih wujud," kata Suaram.

Suaram menggesa undang-undang sedia ada yang menyekat kebebasan bersuara termasuk Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dimansuhkan, dengan moratorium dilaksanakan sementara menunggu pemansuhan.

Sekumpulan 15 organisasi dan 29 individu turut membuat gesaan serupa dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Selain Suaram, mereka termasuk Pusat Kewartawanan Bebas, Arkib Reka Bentuk Malaysia, Persatuan Peguam Wanita, Amnesty International Malaysia, Justice for Sisters, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Aliran, Article 19, North South Initiative, Gerak , Persatuan Penulis Berbilang Bahasa, Civicus, Tenaganita and Empower.

[Baca berita asal]