Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muktamar PAS buat kejutan sambut hari lahir Hadi ke-76
Diterbitkan:  Oct 20, 2023 7:58 PM
Dikemaskini: 3:57 PM
  • Dikemas kini dengan maklumat berkaitan perkongsian tahun lahir Hadi dengan Anwar dan Muhyiddin.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 yang berlangsung petang ini membuat kejutan dengan menyambut hari lahir presiden parti itu, Abdul Hadi Awang yang ke-76.

Perkara ini diumumkan Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Husin Ismail ketika Muktamar berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, lapor Harakahdaily.

Beberapa orang petugas kemudiannya membawa kek hari jadi ke atas pentas yang menempatkan ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Saya mempersilakan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin untuk menjemput Tan Sri Tuan Guru Presiden untuk menyempurnakan acara,” katanya seperti dipetik portal berkenaan.

Abdul Hadi yang diiringi Takiyuddin kemudiannya menyempurnakan acara dengan memotong kek hari jadi tersebut.

Presiden PAS itu dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.

Sebaya dengan Muhyiddin dan Anwar

Sebelum itu, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam ucapan alu-aluannya turut mengumumkan hari ulang tahun kelahiran Hadi itu.

Dia berkata parti menghadiahkan kejayaan besar dalam pilihan raya umum ke-15 lalu kepada Hadi.

Tiga rakan sebaya - Anwar, Muhyiddin, Hadi

Takiyuddin bagaimanapun mengumumkan bahawa Hadi sebenarnya berkongsi tahun kelahiran dengan sekutu pentingnya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin lahir pada 15 Mei 1947, kira-kira lima bulan sebelum Hadi manakala Anwar pula lahir sepuluh hari lebih awal berbanding Hadi, pada 10 Oktober tahun sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS