PRK Kemaman: Bekas MB dilantik pengarah jentera BN
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Said, dilantik sebagai Pengarah Jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Dis ini.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pelantikan bekas menteri besar Terengganu itu dibuat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti terbabit malam tadi.
Ia dipengerusikan Presiden Umno AHmad Zahid Hamidi.
"Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Dis ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 18 Nov dan 28 Nov.
PRK itu perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU ke-15.
Asyraf Wajdi turut mengumumkan Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, mengetuai Kolokium Prakongres Ekonomi Bumiputera dengan menggembleng semua peringkat kepimpinan Umno di seluruh negara.
Katanya, penganjuran kolokium berkenaan bertujuan mendukung penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera pada Jan tahun depan yang merupakan komitmen Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Mengenai, Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia, Muhamad Jailani Khamis, yang didakwa mensabotaj parti dengan menghadiri program pembangkang di Johor baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkata ia tidak dibincangkan pada mesyuarat malam tadi.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menerusi kenyataan lain memaklumkan Umno akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin dengan diurus oleh bendahari parti itu, Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk dihantar secara terus ke Gaza sebagai tanda komitmen dan solidariti bersama rakyat Palestin.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/371a0887d18e97504d44129b96801ec7.jpg)
