Aktivis PSM, petani bebas dengan jaminan polis
Tiga aktivis PSM dan seorang pekebun yang ditahan awal hari ini kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun, dibebaskan dengan jaminan polis.
PSM dalam satu kenyataan berkata empat individu itu dibebaskan pada pukul 8 malam selepas kenyataan mereka direkodkan.
Empat individu terbabit ialah pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, ahli jawatankuasa PSM R Karthiges, ahli Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani dikenali sebagai Ho Pon Tien.
PSM berkata, pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada pejabat Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengenai tuntutan agar pengusiran terhadap petani terbabit dihentikan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan aktivis PSM Chong Yee Shan cedera di mulut dan hidung selepas dikatakan ditolak oleh pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak berhampiran sebuah ladang di Kanthan, Tambun.
Ini selepas petani dan aktivis berkenaan cuba menghalang pegawai PTG yang datang ke lokasi dengan jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani terbabit.
Susulan kejadian itu, PSM menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelamatkan petani yang berdepan pengusiran secara paksa di kawasan parlimennya.
Timbalan pengerusi PSM Arutchelvan berkata seorang pegawai dari pejabat Anwar berada di lokasi dan cuba memohon agar pengusiran itu ditangguhkan, tetapi tidak berjaya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/ff0fb3c419036497eae03ad0b22b40e2.jpg)
