Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Duta Palestin: Senjata mainan untuk pamer sokongan moral itu bagus

"Jika hanya untuk pamer sokongan moral, itu bagus tapi tak lebih daripada itu," kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkaitan isu murid membawa senjata mainan ke sekolah pada program Minggu Solidariti Palestin baru-baru ini.

Walid berkata pihaknya sangat menghargai semua usaha dilakukan Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan zionis Israel.

"Kami adalah pejuang kebebasan, kami menentang Israel sehingga ke minit terakhir, sokongan Malaysia dalam aspek politik, ekonomi adalah sangat dihargai.

"(Tetapi) Saya fikir adalah tidak praktikal untuk memikirkan rakyat Malaysia akan pergi dan berjuang di Palestin. Malaysia terlalu jauh, secara geografi," katanya dalam sidang media di Kedutaan Palestin, hari ini.

Seru teruskan boikot syarikat terkait Israel

Menjawab soalan wartawan mengenai tindakan boikot terhadap beberapa produk dan syarikat francais yang didakwa terkait dengan Israel di Malaysia, Walid turut menyeru agar perkara itu diteruskan.

"Pemboikotan ke atas mana-mana produk dan francais yang menyokong Israel membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

"Saya menggalakkan rakyat Malaysia, rakyat Palestin, orang Arab, serta semua umat Islam, dan semua yang percaya kepada hak asasi manusia dan demokrasi, untuk melakukan sekurang-kurangnya paling minimum dalam memboikot semua sokongan yang diberikan kepada Israel."

"Mereka mendapat manfaat dari segala cawangan (perniagaan) yang berada di seluruh dunia.

"Justeru, saya fikir dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini, kita dapat melihat betapa terjejasnya (perniagaan) mereka, ini mampu menjadi tekanan ke atas kerajaan Israel sekarang," katanya lagi.

Sebelum ini tersebar gambar murid memegang senjata mainan di sekolah, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

KPM bagaimanapun menjelaskan program itu tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan.

Susulan itu DAP menggesa minggu itu dikaji semula dan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pihak yang menganjurkan program yang mengandungi unsur-unsur keganasan dan ekstremisme.

Selain itu tiga ahli Parlimen dan sembilan Adun bukan Melayu PKR turut menggesa KPM mengkaji semula penganjuran minggu berkenaan agar bebas daripada unsur kebencian, dendam dan keganasan.

Perkembangan terkini di Gaza menyaksikan pengganas Israel terus melakukan pembantaian terhadap penduduk Gaza, dengan lebih 9,000 orang awam termasuk kanak-kanak terkorban setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS