Kerajaan Selangor meluluskan pembangunan sebanyak 245,371 unit kediaman sejak 2014 menerusi Dasar Perumahan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku)
Menteri Besar Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, 57,185 unit kediaman dibangunkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta pemaju perumahan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri dan swasta.
“Daripada jumlah tersebut, 35,606 unit telah diserahkan kunci kepada pembeli manakala 21,579 unit dalam proses pembinaan.
“Manakala 188,186 unit lagi masih dalam proses perancangan di pelbagai peringkat memperoleh kelulusan pembangunan oleh jabatan dan agensi teknikal di peringkat Kerajaan Negeri dan Tempatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 hari ini, lapor portal Selangorku.
Tambahnya, kerajaan negeri juga bakal memuktamadkan satu mekanisme kediaman Kita Selangor dalam masa terdekat meliputi fasiliti dan pembiayaan khusus untuk rakyat negeri ini.
“Dalam Tawaran Kita Selangor oleh Gabungan Perpaduan, kami berjanji akan membina 200,000 kediaman Kita Selangor dalam tempoh lima tahun pentadbiran,”katanya memaklumkan maklumat lanjut akan diumum dalam masa terdekat.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri memperuntukan RM220 juta bagi pembelian Skim Smart Sewa pada tahun hadapan dengan sasaran sebanyak 810 unit.
“Menerusi Belanjawan Selangor tahun lalu, kerajaan negeri bersetuju dengan perbelanjaan menggunakan peruntukan sebanyak RM115 juta bagi pembelian 500 unit tambahan dan mensasarkan sebanyak 3,000 unit Skim Smart Sewa hingga 2025.
“Sehingga kini status pembelian unit Skim Smart Sewa yang diluluskan dan untuk ditawarkan kepada orang awam bagi tujuan penyewaan sehingga tahun ini sebanyak 1,340 unit yang mana 707 unit telah disewakan,”katanya.
Rumah Selangorku diperkenal pada 2014 iaitu rumah mampu milik untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana yang menggantikan dasar Rumah Kos Rendah (RKR).
