Shafee hantar surat tanya status permohonan pengampunan Najib
Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah telah mengutuskan surat kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mengenai status pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri itu.
Ini katanya selepas 10 bulan pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai permohonan berkenaan.
BHEUU merupakan sekretariat kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
"Secara kebetulan esok (semalam) kita akan tulis satu surat kepada pejabat yang berkenaan iaitu jabatan yang menjaga hal ehwal undang-undang dan juga berkenaan dengan pengampunan.

"Kalau tak salah saya, menteri undang-undang (Azalina) yang menjaga jabatan (BHEUU) ini untuk memperingatkan bahawa benda (permohonan) ini sudah 10 bulan tak ada jawapan lagi.
"Secara sopan, kita akan bawa perkara ini dan hantar (permohonan) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan baginda. Ia akan dibuat esok (semalam)," katanya.
Shafee berkata demikian ketika menjadi panel dalam rakaman program bual bicara Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.
Program itu dirakam pada Rabu lalu.
Terdahulu, Shafee berkata awal tahun ini, pihaknya telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai permohonan pengampunan terhadap Najib.
“Surat ini tebal, sebab banyak asas dan warna kuning sebab ia adalah pengampunan Diraja.
"Kami telah menullis surat ini, sangat menarik kerana surat inni tidak seperti surat pengampunan normal lain.
"Kes ini (SRC International) berlainan.
“Tak pernah dalam 47 tahun saya sebagai peguam, dia (Najib) punya alasan (dalam surat permohonan pengampunan diraja) bahawa saya (Najib) tidak diberikan hak untuk mendapatkan perbicaraan secara adil terutama di Mahkamah Persekutuan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/ce482e9caa7f784e309b11543a12e57e.jpg)
