Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan penemuan mayat disimen dalam kolah
Diterbitkan:  Dec 4, 2023 8:56 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia dalam keadaan disimen di dalam sebuah kolah di sebuah rumah di Kampung Pandamar di Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat dipercayai wanita itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat yang dijangka selesai (bedah siasat) esok,” katanya.

Menurut Hussein setakat ini belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes itu, namun pihaknya sedang menggiatkan usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan.

“Berdasarkan hasil siasatan, pemilik rumah itu yang merupakan lelaki tempatan memaklumkan kolah itu disimen sejak 2021 ketika dua warga India menetap di situ,” katanya.

Hussein berkata selepas dua warga India itu berpindah dari rumah berkenaan, rumah terbabit kemudian disewa oleh dua individu berbeza.

"Baru-baru ini pemilik rumah berkenaan mendapat tahu daripada penghuni kawasan (perumahan) berkenaan yang memaklumkan terdapat mayat ditanam di dalam kolah.

“Pemilik rumah yang tidak sedap hati berkaitan perkara itu, kemudian meminta penyewa (terkini) rumah berpindah lalu membuat laporan polis," katanya.

Bomba keluarkan mayat disimen

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan sekitar 11.39 malam semalam daripada pihak polis untuk mengeluarkan mayat yang berada di dalam kolah di rumah itu.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang tiba di lokasi 10 minit kemudian dan melakukan kerja-kerja pemecahan simen menggunakan peralatan khas.

“Kerja-kerja pemecahan simen telah dilakukan 70 peratus dan menemukan satu mayat dipercayai wanita.

“Mayat telah berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Bernama di kawasan rumah teres satu tingkat itu sekitar 3.30 petang tadi, mendapati pintu pagarnya tertutup, namun pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.

Seorang penduduk bersebelahan rumah berkenaan berkata dia terkejut melihat kawasan luar kediamannya dipenuhi anggota polis pada 9.30 malam semalam dan bertambah ramai dengan kehadiran anggota bomba sekitar 11 malam.

“Rupanya ada mayat di rumah sebelah dan memang rumah ini pernah disewa kepada warga asing sebelum ada antara mereka pulang ke negara asal.

"Selepas itu rumah itu disewa kepada pasangan suami isteri warga tempatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS