Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) membantah cadangan agar kerajaan mendenda syarikat yang gagal memberi pekerjaan kepada pekerja asing yang direkrut mereka.

Presiden FMM Soh Tian Lai berkata cadangan denda sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja adalah tidak adil buat syarikat.

"Tidak adil untuk pihak berkuasa terus meletakkan kesalahan kepada majikan tanpa siasatan yang sewajarnya.

"Pekilang-pekilang tertakluk kepada syarat ketat oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebagai badan pengawal selia sektor perkilangan, dengan majikan perlu menunjukkan bukti pesanan dan permintaan daripada pelanggan sebagai justifikasi kepada bilangan pekerja asing yang dimohon.

"Syarat-syarat ini bagi menjamin industri tidak menyalah guna sistem dan membawa masuk pekerja asing dalam jumlah yang besar," kata Soh dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani mencadangkan denda dikenakan kepada majikan yang gagal menyediakan pekerjaan kepada pekerja asing dalam tempoh sebulan mereka tiba di Malaysia.

Johari Abdul Ghani

Sementara itu, Soh berkata banyak pengilang yang memohon pekerja asing selepas pembekuan permohonan dibatalkan pada Februari 2022 membawa masuk pekerja kurang daripada kuota yang diluluskan kepada mereka selepas mengalami penurunan dalam permintaan.

Justeru, dia berkata tindakan membawa masuk pekerja tanpa pekerjaan disediakan kemungkinan dilakukan oleh ejen yang jahat yang terlibat dalam kegiatan penipuan, seperti pemalsuan dalam permohonan.

"Atas sebab inilah FMM telah menggesa kerajaan untuk pengurusan pekerja asing yang lebih berkesan menerusi satu kementerian dan satu sistem dalam talian.

"Ini bagi memastikan pentadbiran pekerjaa asing yang telus, saksama dan menyeluruh, dengan tiada kementerian atau agensi lain yang patut terlibat dalam proses kelayakan majikan untuk pengambilan pekerja selain satu kementerian tunggal, iaitu Kementerian Sumber Manusia," katanya lagi.

Selain itu, dia berkata agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan perlu lebih berwaspada dan melaksanakan kawalan sewajarnya dalam menerima kemasukan pekerja asing yang sah.

Dia juga berkata ada majikan yang perlu memohon kuota pekerja asing yang baru di tengah pembekuan permohonan.

Katanya lagi, pembekuan kelulusan dan permohonan pekerja asing secara menyeluruh akan memburukkan lagi persekitaran perniagaan yang mencabar, seterusnya memberi kesan kepada ekonomi.