Insiden bom botol: PAS gesa kendurkan ketegangan
PAS menggesa tindakan segera untuk mengendurkan ketegangan susulan insiden serangan bom botol ke rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di rumahnya awal pagi tadi.
"Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan (pandangan) itu dengan segera, adil dan bijaksana.
"Selain itu, semua pihak juga perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa-apa pandangan, pendirian atau cadangan yang boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar," kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan pada satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, PAS "memandang serius dan mengutuk keras" perbuatan khianat terhadap pemimpin DAP itu.

"Jika dilihat dari sudut mana pun, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.
"PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.
"Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana," katanya lagi.
Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS juga berharap Ngeh serta keluarganya "terus bertenang dan tidak terlalu terkesan" dengan insiden serangan bom botol tersebut.

"Atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
“Selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara kita," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/5829f21f83286a1ee3e4cc47e525ed96.jpg)
