Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AGC perlu beri penjelasan bekas setpol Mat Sabu bebas dakwaan rasuah'

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Pejabat Peguam Negara untuk memberi penjelasan mengapa bekas setiausaha politik Mohamad Sabu di Kementerian Pertahanan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM6.48 juta.

Ketua Pemuda Bersatu itu menyifatkan pembebasan itu sebagai "sangat membimbangkan dan membingungkan".

"Ia menimbulkan persoalan sama seperti (kes) Ahmad Zahid Hamidi. Apakah ini tatakelola cara kerajaan Madani dalam menguruskan sistem keadilan negara?" katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, bekas setiausaha politik Mat Sabu, Mohd Azhar Che Mat Dali dilaporkan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah itu.

Bagaimanapun, butiran mengenai keputusan itu tidak dinyatakan.

Mohd Azhar Che Mat Dali

Tiada media yang membuat liputan ketika keputusan itu disampaikan dan peguam Azhar enggan mendedahkan maklumat berkenaan sama ada ia dibuat kerana pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan atau memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Pada 2020, Azhar didakwa atas meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.35 juta bagi membantu FEHM Entity Sdn Bhd agar dipilih sebagai rakan strategik dan kontraktor penyelenggaraan untuk sistem risikan kementerian.

Pembebasan itu dibuat emat bulan selepas pihak pendakwaan menarik balik pendakwaan rasuah ke atas Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri.

Ketika itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan agar Zahid diberi DNAA.

Keputusan itu kemudian dicabar di mahkamah.

Ketika berucap semasa pembukaan Tahun Perundangan 2024 semalam, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh berkata pendakwa raya tidak perlu memberikan alasan ketika menarik balik pertuduhan.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dalam acara sama, berkata badan kehakiman negara secara tidak adil dipersalahkan apabila pendakwa raya menarik balik sesuatu pertuduhan jenayah.

Tengku Maimun juga meminta orang ramai agar memahami mahkamah mempunyai pilihan yang sangat terhad dalam perkara itu.

Mengulas perkara itu, Wan Fayhsal percaya kenyataan Tengku Maimun itu sebagai respons kepada Terrirudin.

"Tengku Maimun sendiri tempelak secara halus (tindakan pendakwaan) kerana ia menyebabkan rakyat salah tanggap terhadap institusi kehakiman seluruhnya, walaupun bakan salah (hakim apabila pertuduhan digugurkan)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS