Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas setiausaha Mat Sabu 'bebas' pertuduhan rasuah RM6.48 juta
Diterbitkan:  Jan 15, 2024 6:45 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Bekas setiausaha politik Mohamad Sabu di Kementerian Pertahanan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM6.48 juta.

Bagaimanapun, media tidak mengetahui butiran keputusan yang diambil Mahkamah Sesyen itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Mohd Azhar Che Mat Dali, Haijan Omar sekadar berkata: "Pembebasan. Itu sahaja yang boleh saya katakan".

Dia enggan mengulas lanjut mengenai pertanyaan sama ada ia adalah pembebasan penuh atau jika pihak pendakwa telah memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Juga tidak dapat diketahui alasan pembebasan itu diberikan pada akhir pendakwaan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pendakwaan.

Azhar adalah setiausaha politik kepada Mohamad ketika presiden Amanah itu menjadi menteri pertahanan dari 2018 hingga awal 2020.

Azhar didakwa pada Okt 2020 atas lima pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.35 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek oleh kementerian.

Pada bulan yang sama, dia kemudian dikenakan dua pertuduhan tambahan menerima rasuah berjumlah RM130,000.

Jumlah itu didakwa sebagai suapan untuk membantu FEHM Entity Sdn Bhd dipilih sebagai rakan kongsi strategik dan kontraktor penyelenggaraan untuk sistem risikan kementerian.

Azhar mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS