Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu isytihar Ahad sebagai Hari Batik
Diterbitkan:  Feb 24, 2024 10:45 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Kerajaan Terengganu mengisytiharkan Ahad sebagai Hari Batik di negeri itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, berkata galakan untuk memakai batik itu bukan saja dibuat kepada penjawat awam, bahkan turut melibatkan petugas sektor swasta, usahawan, dan seluruh penduduk Terengganu.

"Kerajaan negeri sebenarnya menyokong hasrat pemakaian batik oleh kerajaan persekutuan pada bila-bila masa sahaja, dan wajib pada Khamis.

"Jadi, saya ambil peluang ini untuk mengangkat semula batik Terengganu yang saya kira sudah mulai malap disebabkan kemasukan batik dari luar negara.. misalnya dari India dan Pakistan," katanya selepas merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) di Kuala Terengganu, malam tadi.

"Semoga inisiatif ini dapat menjadi medium promosi kepada penghasilan batik Terengganu yang merupakan satu daripada produk bermutu dan berkualiti tinggi serta membantu menjana ekonomi pengusahaan batik Terengganu," katanya.

KBTM anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas bagi mempergiatkan kempen promosi sektor pelancongan dan seni budaya warisan negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS