Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu silap besar fikir k'jaan campur tangan ROS - menteri KDN

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri sebarang urusan permohonan pindaan perlembagaan parti itu yang dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Dia berkata demikian ketika ditanya status permohonan pindaan parti Bersatu dan adakah terdapat sebarang campur tangan daripada pihak kerajaan.

"Sebab mereka (ketika berkuasa) pernah buat campur tangan politik, jadi mereka fikir menteri dalam negeri ini akan buat seperti mereka buat.

"Silap besarlah,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyebut pihak yang dimaksudkannya atau memperincikan dakwaan kejadian campur tangan oleh menteri dalam negeri berkenaan.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meminda perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang mana-mana ahli parlimen atau Adun Bersatu daripada menyokong musuh parti itu.

Pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Bersatu, perwakilan parti itu sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin merujuk tindakan enam ahli parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Selain menyekat wakil rakyatnya daripada berpaling tadah pada masa akan datang, Bersatu juga menuntut agar enam ahli parlimen daripada parti itu mengosongkan kerusi masing-masing.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan menggesa ROS untuk segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan serta-merta.

Dia juga berharap agar tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi dan melambatkan proses berkenaan.

"Tidak ada sebab kenapa enam kerusi pengkhianat itu tidak dikosongkan.

"Janganlah pula ada sesiapa yang mencipta alasan untuk melindungi mereka," kata ahli parlimen Tasek Gelugor itu menerusi hantaran Facebook pada 2 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata parti itu yakin ROS tidak akan 'menyusahkan' proses pindaan perlembagaan parti itu.

“Apabila persetujuan lebih dua per tiga dari perwakilan tidak ada masalah nak luluskan.

“Saya tak nampak ROS nak menyusahkan kita sebab pindaan perlembagaan perkara biasa sahaja,” katanya seperti dilapor media tempatan kelmarin.

Lihat Komen
ADS