mk-logo
Berita
Imuniti parlimen: SPRM tak perlu campur isu ucapan Wan Saiful - Bersatu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh campur tangan berhubung kenyataan atau ucapan ahli parlimen di Dewan Rakyat, kata Bersatu.

Ini selepas SPRM memberikan tempoh seminggu kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan untuk tampil membuat laporan berhubung dakwaan beberapa individu menawarkan sogokan kepadanya jika menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin menjelaskan ahli parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat.

"SPRM kena faham, SPRM tak boleh masuk campur apa yang wakil rakyat cakap dalam parlimen sebab ia ada akta ahli parlimen.

"Wakil rakyat ada hak untuk tentukan bila beliau nak buat laporan," katanya ketika sidang media selepas Konvensyen PN di Kuala Lumpur petang tadi yang turut dihadiri Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 4 Mac lalu berkata menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

"Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan," katanya seperti dilapor media.

Kata Azam lagi, apabila Wan Saiful menyebut di parlimen mengenai rasuah ditawar kepadanya maka sebenarnya menjadi tanggungjawab dia sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Wan Saiful membuat tuduhan itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS