Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Keselamatan terima resolusi gencatan senjata di Gaza
Diterbitkan:  Mar 26, 2024 9:44 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

GLOBAL | Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini menerima resolusi meminta gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza sempena Ramadan.

Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan manakala AS berkecuali, lapor Agensi Anadolu (AA).

Resolusi itu menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang dapat bertahan lama.

Ia juga meminta supaya pembebasan segera tanpa syarat semua tawanan, dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan kemanusiaan dan perubatan.

Resolusi itu mensyaratkan pihak berkenaan supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa terhadap individu yang mereka tawan.

Ia juga menekankan keperluan segera kedua-dua aspek iaitu meluaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza dan memperkukuhkan perlindungan kepada orang awam.

Resolusi itu turut mengulangi permintaan supaya segala halangan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza pada skala besar dimansuhkan dengan segera, menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan.

- Bernama/Anadolu

Lihat Komen
ADS