Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bas terbalik di Lebuhraya KL-Karak: Dua maut, 13 cedera
Diterbitkan:  Mar 29, 2024 1:16 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Seorang lelaki warga asing dan seorang wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya telah menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 8 pagi tadi.

Beliau berkata kemalangan berlaku ketika bas persiaran yang membawa 20 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menghala ke Kuantan. 

“Pemandu bas dan seorang wanita mengalami cedera parah manakala 11 lagi dilaporkan cedera, lima mangsa lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mangsa yang maut dan semua yang cedera telah dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau memaklumkan tiada mangsa yang tertindih di bawah bas seperti yang tular dalam rakaman video. 

Kesesakan lalu lintas beberapa kilometer turut dilaporkan berlaku akibat kemalangan itu.

Sementara itu, Zaiham dalam kenyataan petang ini berkata bas tersebut dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbalik di lokasi kejadian iaitu di KM51.3 menghala Tol Bentong.

Beliau berkata lelaki warga asing dan wanita tempatan yang maut masing-masing dikenali sebagai Htay Min Aung, 28, dan Liew Chun Len, 43, meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Siasatan awal mendapati pemandu tempatan berusia 33 tahun telah membawa 17 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) (Kuala Lumpur) menghala ke Kuantan dan apabila di lokasi kejadian bas tersebut telah hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik melintang di atas lebuh raya berkenaan. 

“Dua mangsa yang parah termasuk pemandu bas dan mangsa lain yang mengalami cedera ringan telah dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya kejadian tersebut turut menyebabkan kesesakan jalan, namun pihak konsesi dan polis dibantu agensi lain berjaya menyuraikan trafik. 

Zaiham turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan selain menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara berhati-hati serta berhemah. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS