Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Karim tegur Akmal: Kamu cuma cipta lebih banyak masalah
Diterbitkan:  Apr 4, 2024 9:28 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Seorang menteri Sarawak hari ini menggesa polis mengambil tindakan ke atas Ketua Pemuda Umno Malaysia yang dianggap terus menghasut orang ramai dan meningkatkan ketegangan kaum serta agama.

Menurut Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri mengakui pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri sudah berusaha meredakan suasana.

Bagaimanapun kata menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu, tindakan susulan pula dilihat agak perlahan.

"Saya tahu di peringkat nasional, KDN cuba menyelesaikan masalah ini dan tidak mahu ia terus meningkat.

"Bagaimanapun saya hairan dengan kelewatan siasatan serta tindakan yang diambil," katanya yang dipetik Borneo Post hari ini.

Isu penjualan beberapa pasang stoking yang tertera kalimah Allah di dua kedai serbaneka KK Mart di Petaling Jaya baru-baru ini menyaksikan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh, menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat berkenaan.

Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan.

Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.

Menurut Abdul Karim, sebarang tindakan memprovokasi isu kaum dan agama mesti dielakkan di negara ini.

"Sesiapa yang dilihat menggalakkan, cuba mencipta gerakan boikot dan hal-hal seumpama itu... kamu hanya mencipta lebih banyak masalah kepada negara ini.

"Sama ada kamu dari Umno atau mana-mana parti, jangan peduli. Lihat (kepentingan) negara secara keseluruhan.

"Kamu boleh saja menjadi ketua Pemuda (Umno) tapi kamu tak boleh menghasut begini, mengajak orang ramai memboikot itu memboikot ini.

"Tidak bagus untuk kamu memainkan sentimen perkauman," katanya lagi.

Abdul Karim juga melahirkan rasa hairan dengan siasatan perlahan terhadap serangan yang dilakukan ke atas KK Mart walaupun sudah lebih seminggu sejak kejadian pertama berlaku di Bidor, Perak.

Dia juga mengakui tidak menjangkakan kejadian seumpama itu boleh merebak ke Sarawak yang biasanya aman, dan ia dianggap petanda sesetengah pihak yang cenderung untuk menggunakan keganasan.

“Namun begitu, kita tidak boleh memandang remeh terhadap perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana di luar sana, mungkin ada seseorang yang lebih gila daripada orang lain.

"Mereka hanya mahu membuktikan sesuatu seperti ini mungkin untuk mendapatkan publisiti," katanya.

Lihat Komen
ADS