Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno S'gor: Tengku Zafrul perlu berhenti buat kenyataan 'aibkan diri'
Diterbitkan:  Apr 7, 2024 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain menyifatkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai terasing dan ketinggalan maklumat berhubung gerakan politik negeri.

Justeru, Mohd Zaidi berkata Tengku Zafrul perlu berhenti membuat kenyataan yang boleh mengaibkan dirinya sendiri serta mengelirukan ramai pihak, terutama ahli Umno.

"Sebaliknya, sebagai pemimpin parti, lebih baik dia menyertai usaha mengukuhkan parti bersama kepimpinan Selangor dan pusat daripada hanya menikmati hasil jerit perih perjuangan dilakukan ahli Umno yang ikhlas kepada parti walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi dalam parti mahupun kerajaan," kata Mohd Zaidi seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Pada 1 April lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai bendahari Umno Selangor, dengan menyifatkan perancangan kebangkitan Umno di negeri itu hambar dan tidak sehaluan dengan Umno pusat.

Dia menyuarakan sejumlah kritikan terhadap Umno Selangor, antaranya banyak yang "tidak ada" pada Umno Selangor menjadi punca dia melepaskan jawatannya

Dia juga mengingatkan prestasi buruk Umno Selangor dalam PRU15 dan PRN 2023 sebagai amaran terakhir untuk berubah.

Sementara itu, Mohd Zaidi mendakwa setiausaha politik Zafrul yang juga ketua Umno Klang berkata menteri itu tidak memaklumkan kepadanya sebelum menyuarakan kritikannya.

"Selain itu, timbalan ketua Umno Bahagian Kota Raja juga turut mengesahkan Tengku Zafrul tidak pernah berbincang dengan kepimpinan bahagian sebelum mengeluarkan tuduhan itu, walhal mereka ada bersama dalam program Umno bahagian sehari sebelum kenyataan itu dikeluarkan," dakwanya lagi.

Mohd Zaidi berkata Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin tidak akan menjawab tuduhan Tengku Zafrul melalui media, sebaliknya akan bersemuka dengannya.

Katanya lagi, mesyuarat Umno Selangor malam tadi sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Megat Zukarnain.

“Semua yang hadir menyatakan kekesalan dengan tuduhan Tengku Zafrul yang tidak berasas dan jauh daripada fakta sebenar, " katanya yang merupakan ketua Umno Bangi.

Dia berkata Umno Selangor sedang membuat penelitian menyeluruh dan merangka strategi baru selepas kekalahan dalam pilihan raya lalu.

Lihat Komen
ADS